
SEREMBAN: Seorang pegawai polis berpangkat inspektor dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengambil dadah, tiga tahun lepas. Majistret Mohd Firdaus Saleh membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh, Roslan Sam, 43.
Dalam penghakimannya, Mohd Firdaus berkata keputusan itu dibuat setelah mahkamah meneliti fakta kes, eksibit, keterangan Orang Kena Tuduh (OKT) dan saksi pembelaan selain meneliti semula keterangan saksi di peringkat pendakwaan.
“Oleh itu, mahkamah dengan ini mendapati bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. Maka dengan ini, OKT dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan ini,” katanya.
Roslan yang bertugas di Bahagian Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan menarik lafas lega selain mengucapkan terima kasih kepada Mohd Firdaus sejurus keputusan itu.
Mengikut pertuduhan, Roslan didakwa mengguna dan memberikan kepada dirinya dadah berbahaya iaitu ketamin, emphatamin, methamphetamin, methylenedioxy – emphatamin dan methylenedioxy methamphetamin.
Kesalahan itu dilakukan pada jam 3 pagi di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban pada 27 Sept 2020 dan didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah akta sama, serta denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur ‘Aqilah Syarfa Nik Zaidi manakala tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris.
Seramai tujuh saksi memberi keterangan di mahkamah sepanjang perbicaraan bermula pada Mac 2021.
Haresh yang ditemui pemberita selepas keputusan itu berkata dalam hujahan, pihak pembelaan berjaya membuktikan pegawai polis berkenaan tidak mengetahui air yang dihidangkan kepadanya serta tetamu yang lain semasa menjalankan tugas risikan di sebuah tempat hiburan mengandungi dadah. –Bernama
This article is sourced from : The Sun