
SEREMBAN – Selepas empat tahun menyambut Ramadan di dalam penjara, tiga sekawan yang berdepan pertuduhan mengedar dadah meluahkan rasa syukur kerana dapat meraikannya bersama keluarga tahun ini.
Ia selepas Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Rohani Ismail membuat keputusan melepaskan dan membebaskan Nor Maslisza Ramli, 32, Muhammad Azhar Ahmat@Ahmad, 32, dan Shazuan Md Sharif, 34, daripada pertuduhan tersebut pada keputusan akhir kes pendakwaan pada Jumaat.
Beliau memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kesemua tertuduh.
Bagaimanapun, seorang lagi rakan tertuduh yang disabitkan atas pertuduhan sama iaitu Muhammad Shafiq Rohmat, 34, dipanggil untuk membela diri.Mengikut dua pertuduhan yang dibacakan berasingan, kesemua mereka telah didapati mengedar dadah jenis Heroin berat bersih 68.7 gram dan dadah Methamphetamine berat bersih 229.3 gram seperti mana Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya.
Kesalahan itu dilakukan pada 7 Mei 2021, jam 11.40 pagi di sebuah bilik hotel di Seremban.Sabit kesalahan boleh membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara maksimum 30 tahun.
Terdahulu, Rohani turut menasihatkan kesemua tertuduh supaya berhati-hati memilih kawan.”Jadi hati-hati kalau berkawan, jangan bercampur… susah,” katanya.
Seramai 10 saksi pendakwaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula 2023.Tertuduh masing-masing diwakili peguam, S Paul Krishnaraja, S Puspanathan dan Haresh Mahadevan bersama Ramzani Idris manakala Muhammad Syafiq diwakili Roseli Abdul Gani.
Pendakwaan kes dikendalikan, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi.
Sementara itu, Shazuan dan Muhammad Azhar yang ditemui di luar mahkamah meluahkan rasa syukur atas keputusan tersebut.
Shazuan yang sebelum ini bekerja sendiri memberitahu, sebaik dibebaskan dia mahu menziarahi kubur ibunya manakala Muhammad Azhar pula tidak sabar mahu berjumpa dua anaknya masing-masing berusia sembilan dan tujuh tahun.
This article is sourced from : Sinar Harian