Haresh Mahadevan & Co.

Bapa Zayn Rayyan kekal bebas

SHAH ALAM – Bapa Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Zaim Ikhwan Zahari kekal dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, atas satu kes mengabaikan kanak-kanak autisme itu, tiga tahun lalu.

Hakim, Suriyati Hasimah Mohd Hashim memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan memaklumkan mereka mahu membatalkan rayuan berkenaan.

Ia membabitkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 21 Julai 2025, yang membebaskan Zaim, 31, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Sementara itu, peguam, Haresh Mahadevan yang mewakili Zaim Ikhwan berkata, pihak pendakwaan memberitahu mahkamah bahawa, notis penarikan balik rayuan telah difailkan pagi ini.

Powered by

GliaStudios

“Mereka tidak mahu meneruskan rayuan tersebut maka mahkamah mengambil keputusan untuk membatalkan rayuan pihak pendakwaan.

“Ini sekali gus mengekalkan pembebasannya daripada pertuduhan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya yang hadir bersama seorang lagi peguam, Ramzani Idris.

Dalam prosiding ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ainul Mardiyah Mohd Ali.

Pada Julai tahun lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Dr Syahliza Warnoh membebaskan bapa kepada dua anak itu, selepas mendapati pendakwaan gagal membangkitkan elemen pemeliharaan, pengabaian dan niat bersama.

Bagaimanapun mahkamah memerintahkan isterinya, Ismanira Abdul Manaf membela diri atas pertuduhan berkenaan di bawah seksyen terbabit.

This article is sourced from : Free Malaysia Today

Scroll to Top