
SHAH ALAM: Seorang lelaki hari ini terlepas daripada hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi di sini mendapati dia tidak waras ketika membunuh ibu kandungnya, empat tahun lepas.
Bagaimanapun, Hakim Datuk Wan Afrah Wan Ibrahim memerintahkan Leong Chi You, 39, dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, selama tempoh diperkenan Sultan Selangor.
Tertuduh didakwa membunuh ibunya, Liew Ah Lan @ Liew Tin Mai, 73, dengan menggelar leher mangsa menggunakan pisau di kediamannya di Seri Kembangan dekat sini, pada 27 November 2011.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Kejadian disedari seorang anak perempuan mangsa yang kebetulan datang ke rumah itu dan menemui mangsa terbaring di ruang tamu.
Terdahulu, peguam Haresh Mahadevan yang mewakili Leong memaklumkan mahkamah bahawa pemeriksaan ke atas anak guamnya oleh pegawai perubatan dari Hospital Bahagia Ulu Kinta sebelum ini mendapati lelaki itu menghidap penyakit mental dan skizofrenia.
Keadaannya menjadi lebih serius pada Oktober 2011.
Laporan perubatan tertuduh juga menunjukkan dia pernah menerima rawatan di unit psikiatri Hospital Kajang pada Julai 2011.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Balkiah Abd Yazid.
This article is sourced from : Berita Harian