Haresh Mahadevan & Co.

Mahkamah arah Neelofa, suami bayar ikat jamin RM15,000

SEREMBAN – Selebriti sensasi, Noor Neelofa Mohd Nor dan suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail (PU Riz) yang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan kesalahan melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 2 Mei lalu diikat jamin sebanyak RM15,000.

Muhammad Haris diikat jamin RM10,000 untuk kedua-dua kesalahan manakala Noor Neelofa diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Jun depan sebagai tarikh sebut semula kes.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Haris didakwa atas dua pertuduhan iaitu gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk check in atau menulis secara manual serta tidak memakai pelitup muka di tempat awam sekitar jam 4 petang di Kedai Naeem Carpet Sdn Bhd, Kawasan Perindustrian Nilai 3, Negeri Sembilan pada 2 Mei lalu.

Neelofa pula dituduh kerana gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk check in atau menulis secara manual nama dan nombor telefon yang boleh dibaca sebelum memasuki premis kedai Naeem Carpet Sdn Bhd pada waktu dan tarikh yang sama.

Kedua-duanya dituduh di bawah Peraturan 19, Peratutan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.

Hukuman bagi setiap pertuduhan adalah denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

This article is sourced from : Malaysia Gazette

Scroll to Top